‘Tiada Niat Sorok Pernikahan’ – Yuna

PUTRAJAYA: Penyanyi Yuna tiada niat merahsiakan majlis pernikahannya yang berlangsung di Bentong, Pahang, semalam, kerana ia sememangnya dijalankan secara tertutup dengan hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Sejak dulu, beliau lebih selesa berkongsi kisah kerjaya berbanding hal peribadi, malah media dan peminat juga maklum mengenai perkara itu.

“Syukur segala-galanya dipermudahkan. Majlis pernikahan kami adalah seperti yang saya impikan, bertemakan alam semula jadi dan dikelilingi mereka yang rapat dengan kami.

“Namun, tidak sesekali mahu berahsia kerana kami sudah pun merancang mengundang jemputan ke majlis resepsi kami esok.

YUNA bakal membawa suaminya ‘pusing’ ke Los Angeles sebelum bercuti panjang ke destinasi pilihan Adam, Amerika Selatan. – Foto Asyraf Hamzah

“Mereka yang mengenali saya sejak mula bergiat dalam arena muzik tahu, saya seorang yang cukup bersifat peribadi dan sudah tentu hari bersejarah ini saya ingin ia berlangsung dalam suasana penuh intimasi,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini petang tadi.

Semalam, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 31, sah menjadi isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Sinclair, 33, yang juga adik pelakon, Ashraf Sinclair, di sebuah resort mewah di Bentong.

YUNA dan Adam dinikahkan Ustaz Azmi dari Majlis Agama Bentong, Pahang berwalikan ayahnya, Datuk Mat Zara’ai Alias, pada upacara yang berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, semalam.

Pada sidang media sama, penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu turut memaklumkan bakal membawa suaminya ‘pusing’ ke Los Angeles sebelum bercuti panjang ke destinasi pilihan Adam, Amerika Selatan.

Cerita Yuna lagi, mereka mempunyai perancangan untuk bekerjasama dalam pembikinan video muzik bagi album baharunya yang dijangka dapat dilancarkan Julai depan.

“Sebenarnya, kami pernah berbual mengenai kerjasama ini tetapi ia belum muktamad. Adam pun kerap mengambil video saya secara suka-suka sebelum ini.

“Siapa tahu hasilnya dapat ditunjukkan kepada semua,” katanya yang turut membuat dedikasi lagu berjudul ‘Best Love’ daripada album Chapters (2016) buat suami tercinta.

Sementara itu, majlis resepsi Yuna dan Adam bakal diadakan di PICC malam esok, bertemakan persandingan dalam taman. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.