Tingkatkan Khidmat Hospital Medan

COX’S BAZAR: Malaysia sedang meneliti kaedah untuk mempertingkat khidmat hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Ini termasuklah menambah baik peralatan perubatan bagi menampung ratusan pesakit setiap hari, membabitkan pelarian Rohingya dan penduduk setempat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor, berkata hospital berkenaan sudah memberi rawatan kepada lebih 4,000 pesakit sejak dibuka November lalu.

Katanya, beliau akan menyediakan laporan lengkap dan cadangan penambahbaikan hospital itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, secepat mungkin.

“Selepas melihat peranan hospital ini, kita dapati terdapat beberapa kaedah yang boleh diperkemaskan lagi dalam memberi khidmat rawatan.

“Kerjasama dan sumbangan dari negara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut membantu operasi hospital medan ini,” katanya selepas melakukan lawatan ke hospital berkenaan.

Yang turut hadir ialah bintang Hollywood, yang juga Duta Khas Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tan Sri Michelle Yeoh.

Raja Mohamed Affandi yang mengetuai deligasi khas ke hospital berkenaan turut memberitahu, sebahagian pegawai dan pembantu perubatan di hospital berkenaan komited untuk terus memberikan rawatan kepada pelarian Rohingya.

“Pada masa ini, kita menjangka akan meneruskan khidmat hospital ini dalam tempoh tiga bulan bergantung kepada keadaan,” katanya.

Beliau berkata, sejak dibuka hospital berkenaan memberikan khidmat rawatan dan pembedahan kepada pelarian serta rakyat Bangladesh di kampung berhampiran.

Pembinaan hospital medan dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala operasinya dikendalikan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysian Relief Agency, Islamic Association Relief Team, Mercy Malaysia dan Humanity Heroes.

Terdahulu, Raja Mohamed Affandi dan Michelle Yeoh, melawat Kem Pelarian Kutupalong, yang juga kem pelarian Rohingya terbesar di Bangladesh, terletak 10 minit perjalanan dari hospital medan Malaysia.

INFO

* Hospital Medan Malaysia

– 149 kakitangan (bertugas empat minggu sebelum digilirkan)

– Ada 39 pakar perubatan; 16 pegawai perubatan; 57 paramedik; 6 pegawai

farmasi; 4 jurumakmal; 4 pegawai x-ray; 7 penyelia kesihatan dan 6

kakitangan tugas am

– 2 bilik pembedahan bagi kes kritikal

– Ambulans dan kenderaan disumbangkan oleh Arab Saudi dan UAE. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.