Dapat Peminat Baharu, Hazami Rasa Muda

KUALA LUMPUR: Selepas menyertai musim keempat Gegar Vaganza (GV4), penyanyi dan komposer, Hazami ‘tak menang tangan’ memenuhi undangan persembahan, selain mencipta lagu baharu untuk artis lain.

Disebabkan terlalu sibuk, ada penganjur terpaksa ‘berputih mata’ apabila Hazami terpaksa menolak undangan dan perlu menunggu untuk mendapatkan penyanyi lagu Katakan itu.

Ketika ini, Hazami sedang menyiapkan lagu baharu untuk Azharina dan Aishah. Khabarnya, dia juga akan mencipta single untuk pelakon dan usahawan jelita, Rozita Che Wan.

Akui Hazami, tumpuan yang diberi terhadapnya sekarang persis zamannya ‘meletup’ dengan lagu Sonata Musim Salju pada awal tahun 2000.

“Bayangkan, peminat yang dulu sekarang sudah beranak-pinak dan bersambung pula dengan generasi baharu.

“Saya bukan muda lagi, usia makin meningkat dan tenaga pun tidak seperti dulu. Namun, diterima kelompok peminat baharu membuatkan saya terharu biarpun diri ini sudah bertaraf ‘uncle’.

“Tapi mungkin sesekali kenalah rasa macam orang muda walaupun pada hakikatnya tidak,” katanya berseloroh.

Hazami memberitahu, ketika ini, dia rancak mempromosikan single Maha yang dilancarkan dua minggu sebelum menyertai GV4, November lalu.

“Ada yang menganggap Maha adalah kesinambungan lagu Tekad. Saya cipta lagu ini dengan lirik yang menyentuh soal ketuhanan dan kerohanian,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.