FELDA Tubuh Jawatankuasa Khas Pembangunan Tanah Jalan Semarak

KUALA LUMPUR: FELDA hari ini mengumumkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk berunding dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (Synergy Promenade) bagi menambah baik perjanjian pembangunan untuk kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.

Penubuhan jawatankuasa berkenaan diumumkan kira-kira dua minggu selepas FELDA mendapat semula tanahnya di Jalan Semarak di sini yang sebelum itu ditukar hak milik bagi pelaksanaan projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Pada 15 Januari lalu, FELDA mendapat semula tanahnya bernilai lebih RM270 juta yang dipindah milik kepada Synergy Promenade tanpa kelulusan agensi itu sejak 2015.

Penyerahan semula tanah berkenaan selepas 26 hari BH mendedahkan FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bagi tujuan pembangunan KLVC, menerusi transaksi pindah milik yang diragui.

Dalam satu kenyataan hari ini, FELDA memaklumkan, penubuhan jawatankuasa itu susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara agensi rancangan tanah berkenaan dengan Synergy Promenade pada 15 Januari lalu.

Katanya, syarikat pemaju terbabit secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik 16 lot tanah kepada FELDA tanpa kos selain menyerahkan semua suratan hak milik hartanah berkenaan untuk didaftarkan semula atas nama FELDA.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan menerusi mesyuarat FELDA pada 25 Januari lalu itu, dipengerusikan Ahli Lembaga FELDA mewakili Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail,” kata kenyataan berkenaan.

Anggota jawatankuasa pula terdiri daripada Ahli Lembaga FELDA mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali serta wakil JPM, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Kenyataan itu memaklumkan, FELDA juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM di dalam jawatankuasa berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.