Felda United Tidak Pandang Rendah Saingan Dalam Liga Perdana

KUALA LUMPUR – Biarpun turun selaku pasukan pilihan, ketua pasukan Felda United Muhd Shukor Adan menegaskan pasukan itu tidak akan mengambil mudah saingan pasukan lain dalam Liga Perdana musim ini.

Muhd Shukor berkata saingan dalam Liga Perdana lebih sukar memandang pasukan lain pasti akan berjuang habis-habisan untuk menewaskan Felda United.

“Orang lain mungkin menganggap pasukan Felda United adalah kuat tetapi bagi saya tidak. Sebenarnya lebih sukar beraksi dalam Liga Perdana kerana semua pasukan akan berusaha habis-habisan untuk menentang Felda United.

“Dalam apa jua situasi semua pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya. Pasukan tidak boleh memandang rendah kepada pasukan lain dalam setiap perlawanan. Kami perlu menganggap semua pasukan itu kuat,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain Liga Perdana serta pelancaran kit jersi musim 2018 di Menara Felda di sini.

Felda United menduduki tangga ketiga Liga Super 2017 terpaksa beraksi di Liga Perdana musim ini ekoran kegagalan pasukan itu mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan Liga Super. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.