Pecah Cermin Kereta, Curah Petrol Kemudian Bakar

PUTRAJAYA: Suspek dipercayai memecahkan cermin kereta Mercedes Benz milik pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum mencurah minyak petrol dan membakarnya.

Hasil analisis Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati api kemudian merebak ke tiga kereta lain yang diletakkan berhampiran dalam kejadian di Presint 11, 23 Januari lalu itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu empat kereta milik Nor Azman Mat Jini, 59, yang juga Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan ahli keluarganya musnah termasuk dua yang rosak terus.

Nor Azman, isterinya, Noor Hayati Khairuddin, 57, anak perempuan, menantu serta dua cucu sedang tidur di tingkat atas dan bawah kediaman berkenaan ketika kejadian.

Dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya, manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata itu adalah hasil analisis akhir dalam kes itu.

Katanya, pihak bomba turut menemui serpihan kaca di dalam kereta, menunjukkan suspek memecahkan salah satu cermin tingkap kereta terbabit.

“Ia adalah perbuatan jenayah, maka siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis untuk membuat tangkapan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pangsapuri kuaters penjawat awam yang terbakar di Presint 16 malam tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.