Pelajar Politeknik Pengsan, Cedera Di Air Terjun

TELUPID: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mengeluarkan dua pelajar Politeknik Sandakan yang pengsan dan mengalami kecederaan ketika mengikuti program khidmat masyarakat di kawasan Air Terjun Entilibon di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Norsuriani Suhki, 23, dilaporkan pengsan, manakala Nur Syafiqah Abd Hassan, 21, mengalami kecederaan dan kekejangan pada bahagian lutut disebabkan keletihan serta kesejukan di kawasan berkenaan.

Pegawai APM Daerah Sandakan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.25 petang sebelum menghantar 10 anggota diketuai Leftenan (PA) Amrin Amirun bersama sebuah kenderaan penyelamat pelbagai guna (MRV).

“Anggota APM tiba di lokasi pada jam 3 petang, namun operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kawasan air terjun mengambil masa hampir empat jam setengah berikutan hujan lebat di lokasi terbabit.

“Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 7.25 malam dan kedua-dua mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Roslan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti seumpama itu di kawasan hutan berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.