Pendakwaan Akan Buktikan Zulfarhan Mati Didera

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai akibat didera akan membuktikan si mati dipukul, ditendang dan ditekap seterika wap oleh 19 tertuduh sehingga mengalami komplikasi luka lecur membabitkan hampir 80 peratus permukaan badannya.

Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah berkata, pendakwaan akan membuktikan 19 penuntut UPNM itu membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan si mati ekoran keengganannya mengaku mencuri sebuah komputer riba.

Othman berkata, semua tertuduh memukul dengan tangan dan menendang mangsa tiga jam berturut-turut bermula jam 2.30 pagi 21 Mei 2017 sehingga jam 5.30 pagi hari sama dan tindakan sama berulang pada jam 1.30 pagi sehingga jam 4.30 pagi, keesokannya.

Beliau berkata, nasib yang menimpa Zulfarhan Osman tidak terhenti pada jam 4.30 pagi pada 22 Mei 2017, kerana fakta kes pendakwaan akan menunjukkan pada jam 4.45 pagi iaitu selepas sebahagian tertuduh keluar dari bilik 04-10 (asrama UPNM), soal siasat ke atas si mati diteruskan semula oleh tertuduh pertama hingga tertuduh keenam.

“Sepanjang soal siasat dibuat, tertuduh pertama memegang seterika wap, seterusnya tertuduh keenam menyuruh tertuduh pertama mencucuh si mati dengan seterika wap sehingga si mati menjerit kesakitan.

“Tertuduh kedua hingga kelima juga menggunakan seterika wap sama untuk mencucuh badan si mati. Perbuatan itu dihentikan selepas selesai azan Subuh berkumandang pada kira-kira jam 5.45 pagi,” katanya.

Othman berkata demikian dalam ucapan pembukaan kes itu pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Beliau berkata, pendakwaan melalui saksi Pakar Perubatan Forensik juga akan mengemukakan hasil bedah siasat yang menunjukkan si mati mengalami beberapa kecederaan pada badan dan sebab kematian adalah luka bakar teruk.

“Terdapat kesan lecur tahap satu, dua dan tiga yang sedang mengalami proses penyembuhan. Komplikasi luka lecur adalah ‘hypovolemic shock (kekurangan cecair dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketikdakseimbangan elektrolit sehingga boleh menyebabkan kematian, selain terdapat pendarahan di bawah kulit kepala pada bahagian temporal kanan, kiri dan tengah kepala yang boleh diakibatkan objek tumpul,” katanya.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Mereka yang semuanya berumur 21 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 2.30 pagi hingga jam 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pada 10 November 2017, lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama, manakala seorang lagi iaitu Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat membunuh pelajar itu.

Lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dihukum sama.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2016, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.