Sabah Bantu Pacu Ekonomi Negara

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara selain mengembangkan kedudukan strategiknya untuk menjadi hab logistik ASEAN.

Ia sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa di negeri ini, kata Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Katanya, ia termasuk penyenaraian Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah sebagai ahli Malaysia-China Port Alliance yang membolehkan Terminal Kontena Teluk Sepanggar, di sini mengambil bahagian dalam Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) yang dilaksanakan kerajaan China.

Beliau berkata, potensi itu dikukuhkan lagi menerusi kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk negara dengan lebih tiga juta penumpang setahun selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sabah berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Ada juga potensi untuk mengembangkan kedudukan geografi Kota Kinabalu yang strategik untuk menjadi hab logistik ASEAN,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Koridor Ekonomi: Prospek dan Cabaran, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Persidangan sempena 10 tahun Koridor Pembangunan Sabah (SDC) itu dianjurkan bersama Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Maleh; Pengerusi IDS, Datuk Clarence Bongkos Malakun; Timbalan Pengerusi SEDIA, Datuk Pang En Yin dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi persidangan koridor ekonomi peringkat kebangsaan yang pertama itu adalah pengiktirafan kepada negeri ini terhadap potensi ekonomi dimilikinya.

Selain SDC, empat koridor ekonomi yang diwujudkan di seluruh negara ialah Iskandar Malaysia di Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di utara Semenanjung, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di pantai timur Semenanjung dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata, persidangan koridor ekonomi pertama itu menyediakan landasan yang baik kepada semua pihak untuk membincangkan pencapaian setiap wilayah ekonomi, selain menyediakan panduan strategi dan projek kepada pihak berkuasa masing-masing.

Terdahulu, Mohd Yaakub berkata, SEDIA akan melaksanakan semakan semula kerangka SDC dan akan mengeluarkan kerangka baharu dikenali Kerangka SDC v2.0 sebagai panduan selepas 10 tahun pelaksanaan SDC.

“Kerangka baharu itu akan mengambil kira perubahan cabaran ekonomi dan bentuk serta dasar baharu ekonomi negeri dan Pusat sebagai panduan untuk merangka hala tuju SDC selepas 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, selama 10 tahun dilaksanakan, SDC melakar pencapaian yang menggalakkan dalam pembangunan ekonomi negeri, manakala inisiatif dan program yang dilaksanakan menerusi koridor berkenaan menunjukkan kesan yang positif.

SDC dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Januari 2008 dengan kitaran pelaksanaannya mengambil masa selama 18 tahun iaitu sehingga tahun 2025. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.