Warga Emas Hilang Semalaman Ditemui

KANOWIT: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di hutan di Nanga Majau, di sini, sejak semalam, ditemui selamat, petang tadi.

Mangsa Pan Pah Sin, 83, ditemui di tebing sungai yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya pada jam 5.45 petang, dalam keadaan lemah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Kanowit untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Mangsa dilaporkan pergi ke kebun yang berdekatan rumahnya pada jam 7 pagi semalam, namun tidak pulang ke rumahnya hingga petang.

“Keluarganya membuat laporan polis pada jam 3.33 petang semalam, namun bomba hanya dimaklumkan kejadian itu oleh polis pada jam 4.20 petang, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit menggerakkan pencarian hingga mangsa ditemui. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.