110 Mangsa Banjir Kilat Di Bera

BERA: Hujan lebat sejak malam tadi di daerah ini mengakibatkan kawasan Taman Perumahan Tanjung Jaya, Triang, di sini dilanda banjir kilat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof, berkata sehingga jam 11 pagi ini, seramai 110 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Taman Tanjung Jaya.

“Semua mangsa dipindahkan bermula jam 11 malam tadi sehingga pagi ini. Kita jangka mangsa banjir akan berkurangan berikutan keadaan air semakin surut,” katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, banjir kilat itu dipercayai akibat hujan lebat selama beberapa jam pada malam tadi, namun keadaan cuaca hari ini semakin baik dengan hanya mendung di satu, dua kawasan.

Sementara itu, beliau berkata, APM turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memastikan kelancaran operasi pemindahan.

“Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut berada di pusat pemindahan bagi memberikan bantuan kepada penduduk,” katanya

Keterangan gambar : Anggota APM menyelamatkan mangsa banjir kilat yang melanda kawasan Taman Perumahan Tanjung Jaya, Triang. Pix ihsan APM. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.