Ezzaty Dibedah Buang Ketulan Di Dada

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan melahirkan anak sulung, pelakon Ezzaty Abdullah dimasukkan ke hospital sekali lagi bagi menjalani pembedahan membuang ketulan pada bahagian dada, semalam.

Ezzaty yang juga isteri kepada aktor, Azwan Kombos, selamat menjalani prosedur itu di Hospital Pusrawi, di sini.

Azwan memberitahu, pembedahan itu berlangsung dua jam tanpa masalah.

“Alhamdulillah, selepas dua jam dibedah, semuanya selamat. Punca wujudnya ketulan itu masih belum diketahui. Hari ini doktor akan memberitahu dengan terperinci keadaan isteri,” katanya kepada BH Online.

Ezzaty baru melahirkan anak sulungnya, Harum Dalia pada 7 Disember lalu.

Terdahulu, melalui perkongsian di Instagram, semalam, Azwan memuat naik beberapa gambar yang antara lain menunjukkan keadaan Ezzaty terlantar di hospital.

Azwan turut meletakkan keterangan berikut yang menyentuh hati pengikutnya: “Isteri saya bertanya, kenapa saya? Saya pun kata kepadanya, bersabar. Allah uji sebab Dia sayang pada kita. Isteri tidak tahu, saya pun tanya soalan sama dalam hati.”

Ditanya sejak bila kewujudan ketulan itu  disedari, Azwan memaklumkan, ia diketahui sejak 10 hari lalu. Namun, pada mulanya mereka tidak terfikir ia serius dan Ezzaty hanya mengikuti sesi urutan seperti wanita berpantang lain.

“Pada mulanya, kami ingat biasa saja. Kami ke klinik, selain isteri mengurut. Namun, ketulan itu tidak mengecil. Lalu kami terus berjumpa doktor pakar,” katanya.

Azwan berkata, sebelum menjalani pembedahan,  Ezzaty kerap menangis. Katanya, sebagai suami, dia perlu memberi sokongan kepada isterinya itu tanpa henti.

“Setakat ini, daripada segi mental Ezzaty belum kuat lagi dan perlukan sokongan. Ketika doktor memberitahu dia perlu menjalani pembedahan, dia menangis.

“Saya beritahu, emosi perlu kuat supaya badan tidak lemah. Tak sampai hati dan kasihan melihatnya. Tak tahu macam mana nak memberi tindak balas, hanya mampu bersikap positif saja,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.