Kes Rasuah JPS Perlis: 13 Lagi Akaun Bank Dibeku SPRM

ALOR SETAR: Tiga belas lagi akaun bank mengandungi keseluruhan RM1.1 juta, dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata 12 daripada akaun berkenaan adalah milik ahli keluarga pengarah terbabit yang berusia 60 tahun dan dijadual bersara Mei ini, manakala satu lagi milik seorang pengarah syarikat.

“Semua 13 akaun itu adalah tambahan kepada empat akaun yang sudah dibekukan sebelum ini membabitkan nilai RM2.9 juta. SPRM turut menyita sebuah motosikal Vespa bernilai RM18,000 milik pengarah jabatan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kes ini membabitkan lebih 10 projek dengan nilai suapan lebih RM5 juta. Kita sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan jumlah sebenar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) Kedah di sini, hari ini.

Pengarah JPS itu bersama dua pengarah syarikat, masing-masing berusia 50 dan 39 tahun, ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Di Perlis, sumber berkata, kes terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan kelewatan projek Lencongan Barat, membabitkan pembinaan terusan sepanjang 22 kilometer dari Timah Tasoh ke Kuala Perlis.

Beliau turut mengesahkan ada maklumat pembayaran kepada kontraktor lewat dibuat walaupun jabatan berkenaan sudah menerima peruntukan dari ibu pejabat, malah hanya kontraktor tertentu didakwa sering diberikan projek.

“Kemungkinan besar projek itu (Lencongan Barat) mempunyai kaitan dengan kes ini. Projek sepatutnya siap September lalu namun lewat dan menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mat Rawi Kassim, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan termasuk dakwaan ia ada kaitan dengan projek Lencongan Barat.

“Kes kini disiasat SPRM, kita serahkan kepada pihak berkenaan untuk melakukan siasatan menyeluruh,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.