MAPIM Beri Perhatian Serius Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendapati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penukaran tiga anak guru tadika, M Indira Ghandi adalah bercanggah dengan pandangan jumhur ulama.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan itu sekali gus akan mengenepikan pendapat jumhur ulama dalam kes akan datang.

“Soalnya apakah pandangan jumhur ulama yang kukuh semuanya akan diketepikan?

“Kenapa hukum yang disepakati dalam jurispruden Islam dinafi dan dibatalkan oleh hukum sivil.

“Di mana letaknya Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh digugat.

“MAPIM melihat keputusan itu akan menjadi rujukan kepada kes akan datang dan Pokoknya hukum Islam akan terus menjadi kelas kedua hukum sivil,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Azmi, berkata sudah lama perbahasan isu maruah dan martabat Mahkamah Syariah diketengahkan.

Malangnya kes ini membuktikan bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah masih berada di bawah Mahkamah Sivil.

Kes itu turut menguji martabat dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Ia mengingatkan seluruh umat Islam di tanah air ini mengenai keputusan mahkamah British dalam peristiwa Natrah pada 1950 di Singapura.

Katanya, MAPIM kesal kenapa undang-undang Islam kini masih dianaktirikan di negara ini.

“Ini bukan hanya soal penafsiran undang-undang tetapi juga keharmonian antara agama dalam konteks Islam sebagai agama persekutuan.

“Kami mengusulkan semakan semula bidang kuasa Mahkamah Syariah yang perlu dilakukan ke arah memperkukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu sendiri,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan pertukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya, iaitu Tevin Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa kepada Islam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.