Tolong Pulangkan Telefon Pintar Saya – Syamel

KUALA LUMPUR: Mengaku berpunca daripada kecuaian sendiri, penyanyi Syamel tidak tentu arah apabila telefon pintar yang baru digunakan sejak dua bulan lalu, hilang semalam.

Mengalami kesukaran berikutan banyak bergantung kepada maklumat dalam telefon pintar bagi rutin harian, Syamel memohon individu yang menemui gajet itu untuk memulangkannya.

“Saya berjanji tidak akan memanjangkan perkara ini jika individu terbabit berhajat memulangkan barang milik saya secara baik. Banyak perkara penting ada dalam telefon itu, terutama butiran kerja.

“Kepada individu yang terjumpa telefon pintar itu, saya mohon kembalikan dengan menghantar pesanan atau ‘private message’ melalui Instagram. Dia juga boleh menghubungi saya dengan apa saja cara yang mudah,” katanya kepada BH Online.

Syamel mengaku diri cuai ketika bersiap menjayakan sesi fotografi bersama media sehingga tidak perasan telefon pintarnya tiada dalam simpanan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Lebih Sempurna itu mengambil iktibar daripada kejadian berkenaan dan akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Dalam perkembangan terkini, Syamel gigih membuat persiapan untuk berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 dengan mempertaruhkan dua lagu, iaitu Lebih Sempurna dan Aku Cinta, dendangan duet bersama Erni Zakri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.