Ditemui Berpelukan Di Atas Pokok Bakau

CHUKAI: Dua beradik masing-masing berusia enam dan empat tahun yang disangka lemas petang semalam, ditemui berpelukan di atas pokok bakau dalam kejadian di Kampung Alur Limbong, Paka, Dungun, malam tadi.

Mohd Zaidanie Amsyar Zaidi, 6, dan adiknya Mohd Zaidanie Ammar Zaidi, 4, memanjat pokok bakau terbabit sebaik air di kawasan paya itu mulai pasang sebelum ditemui 9.50 malam.

Ibu saudara kanak-kanak berkenaan, Rosalinda Zakaria, 39, berkata, dua beradik itu ditinggalkan seketika di rumah oleh ibu mereka Norjihah Mohamad Razali, 28, untuk membeli barangan dapur di Bandar Paka jam 4 petang.

Katanya, sebaik pulang, ibu mereka mendapati kedua-dua mangsa tiada di rumah dengan kedua-dua seluar jean yang dipakai kanak-kanak terbabit tergantung di tiang pagar manakala selipar mereka berada di tepi sungai.

“Khuatir kedua beradik itu lemas, ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Paka.

“Kami sekeluarga yang bimbang turut keluar mencari mereka bersama polis dan bomba namun selepas lima jam masih belum berjumpa.

“Saya kemudian tergerak hati pergi ke kawasan paya bakau dan sampai di sana, terus melaungkan nama kedua beradik itu.

“Alangkah leganya hati apabila laungan saya disahut mereka dan saya segera mendapatkan anggota bomba untuk mengesan arah suara itu.

“Bila sampai di lokasi, terkejut saya nampak kedua mereka sedang berpelukan di atas pokok,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 8 malam.

Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba Paka melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Kita terpaksa memanjat pokok terbabit sebelum berjaya membawa dua beradik itu turun,” katanya.  – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.