Kanak-kanak Maut Kemalangan

JERLUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa dan adiknya terbabit dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Putra di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi, mangsa, Nur Aisyah Hu’maira Mohamad Shahrapi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala keluarganya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata kejadian berlaku ketika bapa mangsa, Mohamad Shahrapi Mohd Mukti, 41, yang memandu kereta terbabit dalam perjalanan untuk menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah pasar raya di Mergong, di sini.

Beliau berkata, ketika itu mangsa bersama adiknya berusia tiga tahun turut dibawa sekali.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, bapa mangsa gagal mengawal kenderaan mereka sebelum terbabas ke kiri dan melanggar sebuah rumah.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang cedera meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala kedua ibu bapa dan adiknya dikejarkan ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.