Misha Omar Serik Hilang Suara

KUALA LUMPUR: Pengalaman berdepan masalah kehilangan suara, tahun lalu, membuatkan penyanyi, Misha Omar, begitu mengambil berat soal penjagaan vokal.

Enggan melihat peristiwa serupa berulang, Misha, 36, berkata selain menjaga kesihatan, beliau juga menghadiri kelas vokal untuk memantapkan lagi nyanyiannya.

“Selepas melahirkan anak pada 2016, saya terbabit pula dengan persembahan Anugerah Juara Lagu, Januari tahun lalu, dan saya akui memang tak cukup rehat. Akibatnya, selama enam bulan saya mengalami masalah suara. Bermula dengan batuk, selesema dan berakhir dengan kehilangan suara.

“Sebagai penyanyi, suara ialah aset dan sudah tentu keadaan itu membimbangkan saya. Bagaimanapun menurut doktor, ia perkara normal.

“Bagi mendapatkan kembali suara, selain bersenam dan menjaga kesihatan, saya turut menghadiri kelas vokal dengan penyanyi, Dia Fadila. Alhamdulillah, kini suara saya sudah kembali seperti asal,” katanya kepada BH Online.

Berikutan keadaannya itu, penyanyi berasal dari Kelantan ini berkata, projek rakaman single terbarunya terpaksa ditangguhkan.

“Sepatutnya, saya merakamkan lagu baharu pada tahun lalu, tetapi disebabkan masalah suara, ia terpaksa ditangguhkan ke tahun ini.

“Insya-Allah, saya akan merakamkan single selepas ini. Kebetulan, tahun ini saya diberi tanggungjawab menjadi mentor dalam program Mentor Otai (TV3) dan juga pengacara Bintang RTM 2018.

“Jadi, alangkah bagusnya jika saya mempunyai lagu baharu untuk menyemarakkan lagi kerjaya seni saya pada 2018, selepas agak senyap sebelum ini,” kata Misha yang mula dikenali di arena seni menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta, sekitar 2002. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.