Pok Ya Cong Codei Terus Jadi Buah Mulut

KUALA LUMPUR: Biarpun mulanya enggan mempopularkan watak Pok Ya ciptaannya, pengarah dan pelakon, Sabri Yunus tidak menyangka telefilem Pok Ya Cong Codei mendapat sambutan hangat selepas kali pertama ditayangkan 20 Januari lalu.

Sabri berkata jadual hariannya padat dengan promosi telefilem itu yang disiarkan di sebuah stesen televisyen. Lebih membanggakan, telefilem itu mula menjadi buah mulut penonton di luar negara.

“Saya tidak terfikir sambutan yang diberi begitu menggalakkan. Malah, saya dimaklumkan ada pihak yang membuat tutorial dalam bahasa Arab mengenai dialog yang dilontarkan dalam telefilem arahan saya itu,” katanya kepada BH Online.

Sabri mengaku ada perbincangan untuk membuat prekuel atau versi seterusnya karya itu.

“Namun, belum ada kata putus mengenainya. Apabila telefilem ini menjadi viral, semestinya pelbagai idea timbul tapi perlu ada perancangan sebaik-baiknya.

“Jika diikutkan, menang saya ingin melihat Pok Ya Cong Codei difilemkan. Namun, kami masih meneliti bahagian mana yang harus diangkat dalam filem dan sebaliknya,” katanya.

Anak jati Kelantan itu berkata, beliau mahu mengekalkan identiti dan karakter Pok Ya yang dicipta daripada kombinasi cerita masyarakat setempat.

Sabri berkata, sebagai karyawan, beliau percaya nilai sastera dan elemen yang dekat dengan kehidupan masyarakat mampu menjadikan sesebuah karya itu lebih indah dan mudah diterima.

Telefilem Pok Ya Cong Codei berkisar kisah Pok Ya iaitu gedebe atau samseng dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan.

Selain Sabri, telefilem itu dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.