Pornografi Kanak-kanak: PDRM Kerjasama Dengan Australia, UK

JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa bekerjasama dengan polis Australia dan United Kingdom (UK) dalam mempelajari teknik-teknik baharu bagi mengekang kegiatan memuat naik dan memuat turun gambar dan visual pornografi kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa yang sama, turut memantau aktiviti memuat turun gambar pornografi kanak-kanak daripada internet.

“Memang sentiasa dipantau (pornografi kanak-kanak) terutama sekali apabila tahun lepas, seorang warga British didapati membuat penderaan seksual kanak-kanak dengan menggunakan Malaysia sebagai pusat untuk dia berbuat demikian.

“Jadi, kita telah menambah upaya usaha mengesan dan bekerjasama dengan polis Australia dan UK untuk mempelajari teknik-teknik terbaharu ataupun cara-cara baharu yang digunakan oleh mereka yang minat terhadap pornografi kanak-kanak supaya usaha mengesan dan menangkap mereka dapat dilakukan sekiranya cukup bukti,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ulang Tahun ke-33 Pasar Tani Peringkat Negeri Johor dan Program Stok Bekalan Negara di Pasar Tani Perling Mall, di sini, hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.