Serbu ‘Jualan Murah Bantu Rakyat’

KEPALA BATAS: Kira-kira 5,000 pengunjung menyerbu ‘Jualan Murah Bantu Rakyat’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, di sini, sejak jam 9 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau tidak menyangka program yang diilhamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu mendapat sambutan luar biasa, meskipun baharu pertama kali diadakan dalam parlimen Kepala Batas.

Katanya, seluruh parlimen dikehendaki mengadakan jualan berkenaan sebanyak tiga kali dalam bulan ini dengan peruntukan subsidi yang ditanggung kerajaan bernilai RM141,900.

“Jualan ini mendapat reaksi positif dari masyarakat berikutan tawaran harga jauh lebih rendah daripada pasaran, sekali gus ia secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

“Idea ini diilhamkan KPDNKK selepas mendengar aduan rakyat yang terpaksa menanggung beban terlalu tinggi dan mahu membantu mereka melalui jualan seperti ini,” katanya ketika melancarkan jualan berkenaan, di sini, hari ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pihaknya juga menawarkan jualan istimewa bagi tiga barang utama iaitu ayam, ikan dan beras dengan 600 pengunjung terawal diberi kupon diskaun sebanyak RM5.

“Selain tiga barang itu, pengunjung juga dapat membeli pelbagai lagi barang dapur lain di bawah harga pasaran antaranya gula, minyak masak, susu dan telur,” katanya.

Beliau berkata, jualan berkenaan akan ditambah baik pada masa akan datang dengan memperbanyak bekalan supaya lebih ramai rakyat dapat memperoleh manfaat.

“Apa yang dilakukan ini bukan bertujuan untuk politik mahupun kempen kerana sudah dekat dengan pilihan raya tetapi ia dilaksanakan atas inisiatif hanya kerana mahu membantu rakyat.

“Ia tidak seperti orang yang bercakap bahawa kos sara hidup kini semakin tinggi tetapi tiada langsung pun usaha membantu rakyat diambil,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.