Bersama Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Najib Razak

BENTONG – Selepas lebih 60 tahun dibangunkan sehingga menjadi sebuah tanah rancangan paling berjaya di dunia, Felda terus mengorak langkah untuk mencapai masa depan yang lebih gemilang menerusi inisiatif Felda 2.0, yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu merupakan suatu gagasan idea untuk membangun dan menaik taraf kawasan tanah rancangan sedia ada, bagi menjadikannya lebih berdaya saing selaras dengan elemen komuniti pintar serta lestari.

“Jika Felda 1.0, kita menempa jaya, maka dengan Felda 2.0 ini, kita akan bersama melakar masa depan gemilang untuk berjaya dan terus berjaya, sampai ke puncaknya.

Kepada warga peneroka dan generasi baharu Felda, ayuhlah kita bersatu dan berpadu kerana sesungguhnya Felda ini benteng kita, Felda ini legasi kita dan semestinya Felda inilah maruah dan tanggungjawab kita bersama,” katanya semasa berucap melancarkan inisiatif itu Felda Lurah Bilut di sini.

Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Anggota Parlimen Bentong yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib berkata selama hampir 62 tahun penubuhan Felda, banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh tanah rancangan itu dan dikongsikan bersama-sama peneroka dalam pelbagai bentuk insentif.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, peneroka Felda menikmati jumlah keseluruhan RM691.09 juta insentif tunai dan bukan tunai yang telah dibayar dan direalisasikan.

“Misalnya, insentif Khas Tunai RM5,000 telah pun kita bayar kepada 88,732 peneroka, dengan jumlah yang telah dibayar sebanyak RM443.6 juta.

“Selain itu, insentif tunai bagi pelupusan sebahagian saham FGV juga dibayar kepada 2,715 peneroka atau waris yang layak dengan jumlah RM4.94 juta dan membayar RM73.75 juta kepada 94,555 orang peneroka untuk Dividen FGV yang dipegang oleh FELDA dan juga insentif duit raya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata semasa Sambutan Hari Peneroka 2017 peringkat kebangsaan, beliau telah mengumumkan untuk membuka semula peluang bagi peneroka yang sudah tidak lagi bersama Felda, kembali bermuafakat dengan tanah rancangan itu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.