Shahida Perjelas Tampil ‘Terlalu Biasa’ Dalam Video Suami

KUALA LUMPUR: Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid mendedahkan, pada awalnya tiada perancangan untuk menampilkan beliau dalam video muzik rasmi lagu, Abang Nak Tegur, dendangan suaminya yang juga ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Bagaimanapun, beliau akhirnya ditampilkan juga dalam video lagu terbabit yang sehingga kini sudah dikeluarkan dalam beberapa versi, dengan yang terakhir menggunakan judul Abang Nak Tegur 3.1 – The Final.

Menerusi beberapa versinya sebelum ini, seorang lagu usahawan, Nur Sajat, turut ditampilkan dalam video berkenaan, namun pelbagai kritikan dan kecaman diterima daripada netizen. Bagi versi terakhir itu, hanya Shahida yang muncul bersama suaminya.

Begitupun, penampilan Sajat dalam klip sebelum ini dilihat cukup anggun dan glamor, manakala Shahida pula hanya mengenakan pakaian yang dianggap ‘terlalu biasa’. Lalu, timbul perdebatan di kalangan peminat mengenai perbezaan penampilan antara kedua-duanya.

Menjawab persoalan itu, bekas anggota kumpulan nasyid Solehah ini berkata, beliau hanya mengikut arahan.

“Saya hanya ikut cakap pengarah saja. Mereka nak konti yang sama (dengan video terdahulu).

“Patutnya, saya tidak dimasukkan pun dalam video muzik itu. Namun, akhirnya saya ditampilkan juga di dalamnya,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, sewaktu ditanya apakah pembabitan dalam lagu terbabit menjadi isyarat kepulangan beliau ke dunia seni suara, Shahida menafikannya.

“Saya berbuat demikian pun sekadar suka-suka, bagi memberi sokongan kepada suami. Hendak dikatakan saya menyanyi pun, tidak juga, kerana dalam video lagu itu saya seperti bercakap saja.

“Sebelum ini pun, memang ada yang meminta saya menyanyi semula, seperti ketika bersama Solehah. Malah, jika diikutkan, saya ada juga menyanyi dengan suami untuk iklan produk keluaran kami.

“Apa pun, saya memang tidak pernah terfikir untuk kembali serius menyanyi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.