Hukuman Dilaksana Di Negara Kesalahan Dilakukan

SEREMBAN: Marina Jamaluddin, 39 yang ditahan pada 2015 di Nepal atas kesalahan berkaitan dadah perlu menjalani hukuman di negara itu.

Pengamal undang-undang, Paul Krishnaraja, berkata setiap negara mempunyai kedaulatan undang-undang dan perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja apatah lagi selepas dijatuhi hukuman oleh mahkamah negara berkenaan dan kerajaan kita tiada hak mencampuri urusan terbabit.

Katanya, seperti warga asing yang melakukan jenayah di negara ini kerajaan negara mereka turut tidak boleh mencampuri pelaksanaan hukuman dikenakan.

“Hukuman perlu dijalankan di negara yang berlaku pendakwaan kes itu namun kerajaan hanya boleh menghantar wakil untuk proses pengampunan.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada kelulusan pihak tertinggi di sana dan jika diluluskan kemungkinan tempoh hukuman disingkatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Marina yang didapati bersalah cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram disembunyikan di dalam lima komputer riba sebelum dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), Nepal.

Mahkamah negara berkenaan menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun atas kesalahan berkenaan.

Terdahulu, ayah Marina, Jamaluddin Malek, 66, merayu kepada kerajaan supaya membenarkan anaknya menjalani hukuman itu di negara ini disebabkan mengalami masalah kewangan untuk melawat anaknya.

Jamaluddin terpaksa meminta sumbangan kepada kerajaan negeri dan rakannya sebelum berjaya mengumpul wang itu selama tiga tahun bagi melawat anaknya pada awal bulan ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.