MRA Bantu Pesakit Jantung Yaman

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) meneruskan misi kemanusiaan ke Yaman dengan menyalurkan bantuan kesihatan kepada pesakit jantung di Hospital Umum Ateq, wilayah Shabwah, negara itu.

Bantuan berbentuk pemeriksaan kesihatan itu dilaksanakan berikutan kesukaran rakyat tempatan mendapat akses perubatan akibat krisis perang saudara.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata misi bantuan itu mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Yaman, The Charitable Society For Social Welfare (CSSW).

Katanya, MRA bersama CSSW melaksanakan bantuan kesihatan itu khusus bagi pesakit jantung di hospital berkenaan yang mempunyai data pesakit yang amat tinggi.

“Pesakit jantung di wilayah ini terpaksa menjalani pemeriksaan jantung di luar wilayah iaitu di Aden dan Mukalla yang terletak sejauh 450 kilometer dari Shabwah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam misi sama, MRA turut membina pam air solar fasa kedua di Soq Al Qadeem, dalam wilayah sama.

Projek berkenaan memberi manfaat bekalan air bersih kepada kira-kira 8,000 penduduk termasuk empat masjid dan sebuah madrasah al-Quran bagi kanak-kanak di wilayah itu.

Malah, projek itu dilihat mampu menjana pendapatan penduduk setempat menerusi program pertanian dan penternakan.

Turut serta dalam misi berkenaan, Pengarah Latihan dan Pembangunan MRA, Mohd Rezaidi Ishak; Eksekutif Operasi Antarabangsa MRA Mohd Fadhil Baharudi dan Koordinator Projek Yaman MRA, Mohd Lutfi Hafifi Japili.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank 8600059478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation atau hubungi talian 03-91744672 untuk maklumat lanjut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.