Operasi Kren Dimonopoli Warga Asing

KUALA LUMPUR: Khidmat pengendalian kren di tapak projek pembinaan di negara ini semakin dimonopoli warga asing yang rata-ratanya didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya, sekali gus berisiko menyebabkan nahas yang boleh meragut nyawa.

Mereka menjadi pilihan pemaju dan kontraktor kerana bayaran lebih murah dan majikan tidak perlu membuat potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selain boleh dikerah bekerja tanpa had.

Tindakan pemaju atau kontraktor menggunakan khidmat pekerja asing sebagai operator kren bukan sahaja salah di sini undang-undang, malah berisiko mengundang nahas yang boleh mengancam nyawa pekerja di tapak projek terbabit serta orang awam di kawasan berhampiran.

Tiada sijil kompeten untuk pengendali warga asing

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tidak pernah mengeluarkan sijil kompeten pengendalian kren kepada warga asing, sama ada jentera jenis bergerak, berantai atau menara, sekali gus perkhidmatan mereka adalah ‘haram’.

Berdasarkan maklumat, pelbagai taktik digunakan majikan dan pengendali kren warga asing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, termasuk bertugas selepas jam 5 petang yang dianggap waktu ‘selamat’ kerana tiada gangguan mana-mana pihak.

Ada juga operator kren warga asing menyelinap masuk ke tapak projek lebih awal daripada waktu kerja biasa iaitu sebelum jam 9 pagi, bagi mengelak kehadiran mereka dihidu penguat kuasa, terutama JKKP.

Sumber memberitahu BH, pekerja asing biasanya digunakan dalam pembinaan beroperasi 24 jam untuk menggantikan operator tempatan yang tamat syif jam 5 petang, manakala lokasi projek pula bukan di kawasan tumpuan, tetapi lokasi ‘terlindung’ dan kurang risiko diganggu pihak berkuasa.

Mengenai risiko penggunaan tenaga kerja asing sebagai operator kren, sumber itu berkata, dengan status tidak bertauliah, khidmat mereka boleh menyebabkan kemalangan di tapak pembinaan, malah lebih teruk mungkin mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Kebanyakan mereka mengabaikan aspek keselamatan, tidak memakai pakaian bersesuaian dan kelengkapan keselamatan lain ketika mengendalikan kren. Mereka hanya tahu bawa kren, tapi tidak mengikut prosedur operasi standard yang sepatutnya.

“Sebab itulah kerap berlaku kemalangan di tapak projek. Lebih teruk, mangsa pula bukan hanya pekerja di situ, tetapi dalam sesetengah kes turut membabitkan orang awam yang lalu lalang berhampiran lokasi projek,” katanya.

Katanya, kecenderungan kontraktor atau pemaju menggunakan khidmat warga asing menyebabkan operator tempatan terpaksa bersaing dalam pasaran kerja selepas bersusah payah menghadiri kursus dengan bayaran lebih RM2,000 serta pelbagai ujian oleh JKKP sebelum mendapat lesen.

“Warga asing tak perlu bersusah-payah melalui itu semua. Mereka dibayar RM10 hingga RM15 sejam untuk kendali kren, manakala gaji kasar bagi operator tempatan antara RM24 hingga RM25 sejam atau RM3,500 hingga RM4,000 sebulan, tidak termasuk kerja lebih masa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Hus-din Che Amat, berkata majikan menggunakan warga asing sebagai operator kren boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, selain arahan henti serta-merta operasi pembinaan.

Katanya, tindakan itu boleh diambil mengikut Perintah Khas Ketua Pemeriksa Kilang dan Jentera dan pendakwaan mengikut Seksyen 8(g) Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sering ubah modus operandi

“Perintah khas itu merangkumi peranan pengurus projek dalam memastikan kelulusan reka bentuk dan pemasangan kren menara, memantau operasi, pengendalian dan penyelenggaraan kren menara, serta memastikan pekerja tapak binaan ada lesen dan kontrak sah di sisi undang-undang,” katanya.

Mengakui penggunaan tenaga kerja asing sebagai operator kren sukar dikesan kerana kontraktor sering mengubah modus operandi, Husdin juga bimbang dengan penggunaan jentera dan peralatan uzur di tapak binaan yang menjadi antara punca kemalangan.

“Masih ada kren berusia lebih 10 tahun beroperasi di tapak pembinaan, sedangkan garis panduan JKPP menetapkan kren berusia 10 tahun ke atas perlu melalui penilaian khas badan kuasa memeriksa yang diiktiraf,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.