Rumah Untuk Generasi Kedua FELDA & Kesedar Di Gua Musang

GUA MUSANG – Kerajaan Persekutuan akan membina 500 unit rumah bernilai RM80 juta untuk generasi kedua peneroka FELDA dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di sini.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata 250 unit rumah akan dibina di Rancangan Tanah FELDA Chiku 2 dan 250 unit lagi di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh 2.

“Cadangan asalnya untuk membina rumah generasi kedua itu menggunakan peruntukan daripada baki RM80 juta pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana penangguhan pembinaan 500 unit rumah PPR fasa kedua.

“Namun peruntukan itu tidak boleh dipindah selepas penutupan akaun kerajaan akhir tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, Razaleigh telah memaklumkan perkara berkenaan dan Najib berjanji akan mencari peruntukan lain sebanyak RM80 juta bagi tujuan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.