Zizan Doakan Lelaki Beri Selipar Dibalas Kebaikan

KUALA LUMPUR: Ketika berasakan sikap suka membantu sesama insan semakin berkurangan di kalangan masyarakat, artis serba boleh, Zizan Razak, kembali yakin masih ada insan berhati mulia selepas insiden kehilangan selipar di masjid, baru-baru ini.

Kejadian seorang jemaah yang menghulurkan bantuan dengan memberikan seliparnya selepas solat Jumaat, beberapa hari lalu, sememangnya membuka mata pelawak, pelakon, pengacara dan penyanyi terbabit.

“Saya akui, atas alasan tertentu, memang tidak ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang ingin membantu insan di luar sana. Tetapi sikap seorang lelaki yang membantu saya, Jumaat lalu, sungguh membuatkan saya terharu. Ketika itu juga saya kembali terfikir, masih ada sebenarnya insan berhati mulia.

“Lelaki yang berpangkat abang itu datang menghampiri dan bertanya mengenai selipar saya yang hilang. Saya pula kurang pasti, sama ada ia diambil orang ataupun tersalah letak. Takkan saya hendak menyarungkan selipar orang lain pula?

“Dia sanggup memberikan selipar dipakainya kepada saya dan dia sendiri berkaki ayam menuju ke kereta. Katanya, dia ada menyimpan kasut dalam kereta. Saya risau juga, bagaimana keadaannya yang terpaksa berjalan di atas jalan bertar yang panas? Tetapi dia tetap meminta saya memakai selipar yang diberikan,” kata Zizan kepada BH Online.

Zizan juga mengaku dirinya terkilan kerana tidak sempat bertanyakan nama lelaki berkenaan apabila mula dikerumuni beberapa orang yang ingin bergambar dengannya.

“Sampai ke rumah, saya masih teringatkan lelaki yang berhati mulia itu. Saya hanya mampu berdoa semoga dia dan keluarganya dibalas dengan segala kebaikan. Saya memang terharu dan kagum dengan pekertinya,” ujar Zizan.

Dalam pada itu, Zizan berkata, amalan tolong menolong harus dikekalkan di kalangan masyarakat tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

“Saya berharap, sikap mulia sebegini harus dikekalkan dan pertolongan pula perlu diberikan kepada semua orang, bukan golongan tertentu saja. Tidak kiralah orang itu selebriti atau sebaliknya, kita hulurkan pertolongan apabila mereka memerlukan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.