Krisis Air Selangor: Azmin Didakwa Putar Belit Fakta

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa memutarbelit fakta mengenai isu air serta melemparkan tuduhan keterlaluan dan tidak masuk akal kepada Kerajaan Pusat dengan berlindung pada imuniti persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin, berkata Mohamed Azmin menggunakan sidang DUN untuk menuduh Kerajaan Pusat menghentikan penghantaran air ke Selangor sehingga menyebabkan krisis air di negeri itu, baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Menteri Besar tidak membaca sehingga habis maklum balas perbincangan dari Kerajaan Pusat pada persidangan berkenaan, sebaliknya menipu fakta dan kebenaran perjalanan sebenar isu terbabit.

“Tuduhan Mohamed Azmin bukan saja keterlaluan, malah langsung tidak masuk akal. Lebih dikesalkan beliau juga menggunakan dewan yang mulia itu untuk menyebarkan fitnah kepada Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nazir Hussin berkata, Mohamed Azmin sengaja mengundang kemarahan rakyat Selangor terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tuduhan kononnya Kerajaan Pusat membuat keputusan untuk menghentikan bekalan air ke negeri itu.

“Cukup-cukuplah bermain politik dengan isu masalah air ini. Saya amat kasihankan rakyat Selangor yang sering diperbodohkan oleh Mohamed Azmin demi politik peribadi,” katanya.

Nazir Hussin berkata, perkataan ‘berhenti penyaluran’ dan ‘menangguhkan sementara’ adalah dua ayat yang membawa maksud berbeza.

“Ini membuktikan Mohamed Azmin terang-terangan menipu Speaker DUN,” katanya.

Justeru, beliau memberi tempoh sehingga Jumaat ini kepada Mohamed Azmin supaya menarik balik tuduhan itu atau memohon maaf dan jika gagal, satu himpunan dan perarakan di hadapan Pejabat Menteri Besar Selangor akan digerakkan.

“Ini bukan masa untuk mempolitikkan masalah air yang sudah mula membebankan rakyat Selangor. Akur sahaja dengan kelemahan pentadbiran kerajaan pakatan daripada suka menuding dan membuat fitnah kepada Kerajaan Pusat.

“Kami menunggu jawapan balas permohonan maaf Mohamed Azmin sehingga Jumaat ini,” katanya.

Katanya, Menteri Besar bukan saja gagal memberi penjelasan berhubung isu perumahan mampu milik rakyat Selangor yang dibatalkan tanpa sebab, malah memusingkan pula fakta isu air dengan tuduhan tidak berasas. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.