Mana Ada Orang Makan Rendang Ayam Crispy – PM

KUALA LUMPUR: Isu peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin, yang tersingkir daripada program MasterChef UK baru-baru ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib, secara sinis, menerusi Twitter hari ini berkata: “Mana ada orang makan rendang ayam ‘crispy’? #MalaysianFood.”

Beliau turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan hidangan berkenaan.

Penyingkiran Zaleha dalam program itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan para netizen yang mempertahankan hidangan peserta wanita berusia 48 tahun itu.

Dalam program itu, para juri mengkritik masakan bekas akauntan itu, kini menetap di Bristol, yang didakwa tidak garing dan isinya yang tidak terlerai daripada tulang.

Selebriti masakan popular negara, Chef Wan, melalui Instagram turut mengambil peluang mempertahankan Zaleha dengan membidas kritikan juri terhadap peserta berkenaan.

Chef Wan berkata, para juri harus memahami persediaan untuk memasak nasi lemak serta rasa sebenar hidangan popular rakyat Malaysia itu.

Zaleha berkata, walaupun hampa selepas tidak berjaya ke peringkat separuh akhir, beliau tetap mempertahan tindakannya memasak hidangan berkenaan dengan cara tradisional.

Ibu kepada dua anak yang turut memuat naik sekeping gambar hidangan terakhir dalam MasterChef UK berkata pengalamannya terlibat dalam program itu akan terus terpahat dalam memorinya selain menghargai sokongan diberikan sepanjang beliau bertanding. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.