RUU Antiberita Tidak Benar Mampu Jamin Kestabilan Negara

BENTONG – Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2008 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam dapat mengekang penularan berita palsu yang boleh mengancam perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata perkara itu juga membuktikan Malaysia berada di landasan sama dengan negara maju lain yang kini serius dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu.

“Kita tidak mahu berita palsu ini menjadi budaya orang Malaysia kerana ia hanya akan jejaskan keselamatan dan perpaduan rakyat di negara ini. Kita sendiri boleh nampak kesannya kepada masyarakat di negara ini.

“Sehubungan itu, kita sebagai wanita amat menyambut baik apabila akta ini diluluskan kerana ia juga dapat memantapkan lagi kestabilan ekonomi di negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Raikan Wanita di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Wanita UMNO Pahang yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Bentong Datuk Roslin Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.