Arab Saudi Tawar 300 Biasiswa Kepada Pelajar Cemerlang Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi menawarkan 300 biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 untuk melanjutkan pengajian ke negara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata biasiswa itu selain bagi meringankan bebanan kewangan pelajar terpilih untuk melanjutlkan pelajaran ke negara itu, ia turut membuktikan hubungan erat sedia ada antara kedua-dua negara.

“Biasiswa tersebut merangkumi pembiayaan insurans perubatan, perumahan, tiket penerbangan pergi dan balik setiap tahun dan elaun bulanan.

“Pemberian biasiswa ini memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi berikutan kos pengajian dan sara hidup yang tinggi di sana,” katanya kepada pemberita di Kedutaan Arab Saudi di sini hari ini.

Terdahulu, Idris menyampaikan sijil kecemerlangan kepada 25 pelajar Arab Saudi yang sedang meneruskan pengajian di Malaysia.

Idris berkata pemberian biasiswa kerajaan Arab Saudi itu meliputi pelajar Malaysia yang ingin mengikuti pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk semua jurusan pengajian.

Selain itu, Idris berkata Malaysia turut menjadi pilihan pelajar Arab Saudi untuk melanjutkan pengajian apabila lima institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini kini tersenarai dalam lapan IPT terbaik di ASEAN.

“Malaysia berada di tangga ke 12 bagi destinasi pendidikan pilihan (UNESCO) dan berdasarkan laporan ‘QS Best Student Cities Survey 2017’, Kuala Lumpur telah tersenarai selama tiga tahun berturut-turut sebagai bandaraya paling murah untuk diduduki dalam kalangan pelajar antarabangsa.

“Sudah terbukti, pendidikan kita mempunyai banyak kelebihan yang boleh ditawarkan kepada warga Arab Saudi,” katanya.

Pada masa ini, terdapat 1,300 pelajar Arab Saudi yang berdaftar sedang menuntut di IPT Malaysia.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan, berharap tawaran biasiswa kepada pelajar Malaysia itu dapat mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kita menawarkan biasiswa untuk semua bidang pengajian di institusi pengajian awam di Arab Saudi kecuali jurusan perubatan,” katanya.

Menurutnya pelajar Malaysia yang berminat untuk memohon biasiswa itu boleh melayari laman web kemasukan ke universiti awam di Arab Saudi untuk memilih jurusan yang sesuai. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.