Budak 11 Tahun Wales Cipta Sejarah

GOLD COAST, Australia: Atlet berusia 11 tahun, Anna Hursey akan mencipta sejarah Sukan Komanwel minggu ini apabila pemain pingpong Wales itu berusaha mencipta kejayaan mengatasi usianya dan cuba memenangi pingat.

Hursey, yang kali pertama memegang bat pada usia lima tahun, akan menjadi atlet termuda mewakili Wales pada Sukan Komanwel dan difahamkan dia atlet termuda dalam kalangan semua negara yang pernah bersaing pada temasya empat tahun sekali itu.

“Dia benar-benar menunjukkannya,” kata jurulatih Wales, Stephen Jenkins.

“Dia sebenarnya amat matang dalam usianya. Mentalnya sangat kuat.”

Rakan sepasukan Hursey, termasuk pemain nombor satu Wales, Charlotte Carey amat melindunginya bagi mempertahankannya daripada publisiti.

“Kami tidak mahu memanjakannya,” tegas Jenkins.

“Ia lebih kepada dia sebagai rakan sepasukan dan ia amat penting buat Anna, dia tidak mahu dimanjakan.

“Tapi dia memang menakjubkan. Charlotte juga sama seperti Anna dan tahu apa yang akan dilaluinya.”

Mempunyai ketinggian 1.60 meter, pelajar dari Cardiff itu seorang pencabar yang berani dan sudah memecahkan rekod apabila tampil pada kejohanan Eropah tahun lalu.

“Kali ini ia lebih besar dan dia menyedarinya,” kata Jenkins ketika Hursey berlatih dengan pemain lelaki dalam latihan.

“Tapi dia tidak dijangkakan untuk menang pingat, jadi ia serba sedikit mengurangkan tekanan buatnya. Saya tahu apa yang boleh dilakukannya apabila dia bermain dengan bagus, masa depannya cerah.” – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.