Jururawat Cari Dewi

KLUANG: Seorang jururawat yang bertugas di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang mencari ibu kepada seorang bayi baru lahir yang ditinggalkan kepadanya di sebuah hospital swasta di Kluang pada 25 Mac 2016.

Noor Idayu Nordin, 31, berkata, wanita yang hanya dikenali Dewi berusia 20-an itu memberi alasan mencari suaminya yang dikatakan berada tidak jauh dari hospital itu ketika mendapatkan rawatan anaknya.

Noor Idayu mencari ibu kandung kanak-kanak itu bagi melengkapkan proses pengambilan anak angkat jika wanita terbabit mahu menyerahkannya terus.

Katanya, ketika itu beliau menemani rakan untuk membuat imbasan dan rawatan di hospital berkenaan apabila didatangi wanita terbabit bersama bayinya.

Beliau berkata wanita itu menyerahkan bayinya itu dan beliau menerima kerana ingin membantu apabila simpati melihat Dewi tidak terurus.

“Bagaimanapun, wanita itu datang kembali menemui saya dan secara tiba-tiba menyerahkan surat daftar kelahiran yang tidak lengkap selain meminta saya menjaga bayinya sehingga dia berjaya mendapat sebuah kediaman sempurna.

“Wanita itu juga memberikan satu salinan nombor telefon untuk saya hubungi jika ada apa-apa terjadi pada anaknya selain berjanji memberikan upah ketika mengambilnya semula,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Impian di sini hari ini.

Noor Idayu yang juga seorang janda tanpa anak berkata, beliau tergamam dengan apa yang berlaku menyebabkannya tidak boleh berbuat apa-apa dan seolah-olah bersetuju dengan wanita itu.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan wanita berkenaan ketika itu, dia bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kota Tinggi – Kluang dan kawasan itu kurang selesa untuk anaknya yang baru dilahirkan.

“Kini bayi yang sudah berusia dua tahun dan diberikan nama Muhammad Iman Naeem Abdul Hafizh memerlukan ibunya untuk membantu menguruskan proses penyerahan anak angkat secara sah jika mahu terus menyerahkan anaknya itu,” katanya.

Noor Idayu berkata, kegagalan wanita itu menguruskan proses penyerahan anak angkat akan menyebabkan kanak-kanak itu tidak mendapat hak sebagai warganegara ini dan berdepan kesukaran untuk proses perubatan serta pendidikan.

“Saya sudah menganggapnya seperti anak sendiri apatah lagi hanya dia satu-satunya anak yang saya ada.

Justeru, katanya, orang ramai yang ada maklumat mengenai Dewi atau wanita itu sendiri dapat menghubunginya di talian 017- 7130567. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.