Krisis Perubatan Yaman Kian Kritikal

KUALA LUMPUR: Situasi kesihatan di Yaman kian kritikal apabila hampir 14.8 juta rakyat di negara itu memerlukan bantuan perubatan berikutan krisis perang saudara yang berlarutan sejak 2015.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata kebanyakan hospital dan klinik di wilayah Aden, Shabwah dan Abyan tidak mampu meneruskan rawatan kerana kemudahan perubatan amat daif.

Katanya, misi bantuan kemanusiaan MRA ke negara di Asia Barat itu kini memfokuskan kepada isu kesihatan dan perubatan.

“Kebanyakan hospital yang dilawati berdepan masalah kemudahan yang daif, terutama dari segi peralatan perubatan usang dan rosak. Masalah ini menyukarkan kerja pihak hospital.

“MRA turut menyalurkan dana barangan perubatan bernilai RM20,000 sumbangan Hyrax Oil (M) Sdn Bhd, untuk hospital Al-Sadaqa di Aden,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak 2017, MRA melaksanakan beberapa program kesihatan seperti klinik lapangan di kem pelarian, kempen kesedaran penyakit kolera melalui pek kebersihan serta sumbangan peralatan perubatan untuk hospital dan pusat perubatan di pedalaman Yaman.

Dr Mohd Daud berkata, keadaan pesakit di hospital berkenaan amat menyedihkan, terutama di wad kecemasan kanak-kanak.

“Suasana wad di sini amat meruntun hati kerana ia sangat tidak menepati taraf wad kecemasan sebenar dan tidak selamat.

“Kami sempat bertemu seorang bayi kecil berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang dan mempunyai harapan tipis jika tidak dirawat segera,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.