Umie Berkawan Dengan Ular Demi Dukun

KUALA LUMPUR: Datin Seri Umie Aida ‘berkawan’ dengan seekor ular selama dua bulan sebagai inspirasi menghidupkan watak Diana Dahlan dalam filem kontroversi lakonannya, Dukun.

Umie ,44, mengaku membuang rasa geli terhadap reptilia itu bagi membiasakan dirinya fokus dan berhubung secara langsung dengan watak sepanjang penggambaran.

“Sebenarnya, saya ‘geli’ dengan ular tetapi buang rasa itu jauh-jauh kerana reptilia itu adalah rujukan terbaik untuk filem ini.

“Ular bukan saja simbolik watak penggoda, sebaliknya kombinasi bagi semua ciri yang perlu ada dalam watak itu.

“Namun, saya tidak boleh kawal orang luar untuk mengaitkan watak Diana dengan mana-mana individu,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Dukun di ibu negara, sebentar tadi.

Mengulas pengalaman membintangi filem itu, Umie mendakwa mengalami gangguan apabila tubuhnya menggigil ketika berada dalam sel tahanan.

“Ketika itu, saya sedang ‘datang bulan’. Dalam hati, saya bertanya mengenai perasaan banduan akhir yang bakal digantung. Perasaan itu terus berlegar di fikiran hingga seluruh tubuh saya menggigil secara tiba-tiba.

“Keadaan itu membuatkan saya terpaksa meninggalkan seketika sel tahanan bagi bertenang dan berehat di parkir berhampiran,” katanya mengimbau kenangan lebih 12 tahun lalu beraksi dalam filem yang siap dibikin pada 2006. itu.

Selain Umie, filem Dukun arahan Dain Said yang menampilkan Faizal Hussein, Adlin Aman Ramlie, Elyana dan Namron, menemui penonton di 100 pawagam di seluruh negara, mulai esok.

PELAKON Filem Dukun, Datin Seri Umie Aida pada majlis tayangan media filem Dukun di TGV KLCC. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.