Zaleha Dan Rendang Ayamnya Satukan Malaysia

PUTRAJAYA: Isu peserta Malaysia dalam rancangan MasterChef UK 2018, Zaleha Kadir Olpin dan rendang ayamnya, menjadi penyatu rakyat Malaysia apabila rata-rata rakyat negara ini menunjukkan sokongan di laman sosial bagi mempertahankan hidangan disediakan wanita itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata dalam suasana panas menuju pilihan raya umum, ramai mudah terlupa mengenai titik persamaan yang menyatukan rakyat Malaysia.

“Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun ada kalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati.

“Kita biasa mendengar sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti. Zaleha dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang,” kata Anifah dalam catatan Facebook beliau.

Mengucapkan syabas kepada Zaleha, Anifah berkata: “Saya harap dapat bertemu anda satu hari nanti.

“Anda telah berjaya menerusi cara yang tidak boleh dilakukan kebanyakan ahli politik, iaitu, menyatupadukan rakyat Malaysia ketika berlakunya perpecahan.”

Zaleha, 48, menghidangkan nasi lemak ayam rendang dalam pusingan knockout pertandingan MasterChef UK 2018.

Juri program berkenaan mengkritik hidangan bekas akauntan itu yang kini menetap di Bristol, dengan mendakwa ayam rendangnya tidak garing.

Dalam catatan Facebook beliau, Anifah menyatakan berasa lucu hati apabila orang asing cuba mengajar rakyat Malaysia mengenai makanan tradisional mereka sendiri.

“Terdetik dalam hati, tertanya sekiranya ini adalah satu bentuk ‘whitesplaining’ yang biasa dibaca di media sosial,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.