Berjaga Malam, Siti Hilang 14KG

KUALA LUMPUR: Diet yang ketat dan pemakanan sihat diamalkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sejak melahirkan anak, lebih dua minggu lalu, membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 14 kilogram (kg).

Menurut Siti, 39, selain faktor pemakanan, keletihan kerana kerap berjaga malam demi puteri sulungnya, Siti Aafiyah Khalid, turut menyumbang kepada penyusutan badannya.

“Siti agak teruja dan asyik nak tengok anak selepas menjadi ibu. Siti juga sanggup bersengkang mata semata-mata nak tunggu dia. Kebetulan pula, Aafiyah memang kerap berjaga malam untuk menyusu.

“Apabila terlalu letih, ditambah dengan amalan diet yang ketat dan pemakanan sihat disediakan pihak yang menjaga Siti sepanjang proses berpantang, ia mempercepatkan lagi proses penurunan berat badan.

“Siti pula bukanlah tertekan nak cepat kurus. Cuma, apabila bersalin secara pembedahan, Siti kenalah pulihkan dulu bahagian dalaman sebelum melakukan proses penjagaan ketika berpantang. Selepas 17 hari, barulah doktor memberikan lampu hijau untuk menjalani proses bertungku, berurut dan sebagainya,” kata Siti ketika dihubungi BH Online.

Semalam, menerusi akaun Instagramnya, isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, memberitahu beliau berjaya menurunkan berat badan dengan cepat kerana sentiasa berjaga malam, ditambah pula anaknya kuat menyusu.

Keadaan terkini penyanyi itu turut mendapat pujian di kalangan netizen dan pengikut laman sosialnya.

Bercerita mengenai permata hatinya, penyanyi lagu Comel Pipi Merah ini berkata, Aafiyah tidak banyak meragam dan mudah untuk dijaga.

“Aafiyah memang tak banyak kerenah. Dia menangis pun apabila lapar susu saja. Selebihnya dia akan tidur.

“Kadang-kadang, lampin basah pun dia tak menangis. Cuma dia suka berjaga malam. Waktu siang, dia akan tidur lama-lama dan apabila malam pula, mulalah dirinya berjaga. Siti kenalah layan. Keadaan itu yang membuatkan ada masanya Siti dapat tidur tiga jam saja,” ujar Siti.

Sementara itu, video Comel Pipi Merah yang dikongsi di YouTube sejak 28 Mac lalu sudah pun ditonton lebih 1.1 juta kali. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.