Lelaki Bakar Rumah, Bengang Isteri Minta Cerai

KUALA TERENGGANU: Bengang isteri menuntut cerai, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila membakar rumah mentuanya dalam kejadian di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Suspek berusia 38 tahun dan bekerja sebagai nelayan dikatakan bertindak membakar rumah yang didiaminya bersama isteri, tiga anak, ibu mentua dan anak saudaranya dalam kejadian kira-kira jam 6 petang.

Pasangan terbabit dikatakan berselisih faham sebelum wanita terbabit meminta cerai daripada suspek di rumah berkenaan kira-kira jam 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, isteri suspek berusia 34 tahun yang bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit.

“Bagaimanapun, wanita terbabit yang berada di balai polis terkejut apabila dimaklumkan rumahnya dibakar suspek.

“Mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati rumahnya sudah terbakar.

“Suspek yang berada berhampiran tempat kejadian dicekup sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Kebakaran itu dipercayai menjadi punca enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan kerugian RM50,000 di Kampung Mengabang Panjang.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu memandangkan semua penghuni tidak berada di rumah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.