Lot Tanah, Wang Tunai Bakal Habuan Muhammad Azroy

ROMPIN: Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menghadiahkan lot tanah dan wang tunai kepada pemenang pingat emas angkat berat Sukan Komanwel, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Seri Johari Hussain berkata, hadiah berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada anak jati Kuala Rompin itu kerana berjaya mengharumkan nama negara dalam kategori snatch 56 kilogram yang berlangsung di Gold Coast, Australia, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah menghadiahkan tanah serta wang tunai kepada jaguh silat dunia yang juga kelahiran Bukit Setongkol, Kuantan, Mohd Al-Jufferi Jamari.

“Bagi kerajaan negeri, habuan yang sama akan diberikan kepada Muhammad Azroy atas kejayaannya kerana kemenangan ini amat membanggakan negara.

“Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada Muhammad Azroy dan pasukan angkat berat negara kerana mereka bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia tetapi Pahang juga turut menumpang gembira,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Muhammad Azroy, di sini, hari ini.

Johari berkata, kemenangan atlet berusia 24 tahun berasal dari Kampung Sepakat, di sini membuktikan daerah Rompin meneruskan kesinambungan dalam melahirkan ramai atlet angkat berat bertaraf dunia.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam membangunkan sukan angkat berat di Rompin dengan pelbagai insentif dan program dilakukan sejak 1994.

“Kejayaan melahirkan jaguh badang negara secara tidak langsung membuktikan segala perancangan dan kerja keras selama ini membuahkan hasil,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.