“Rendang Saya Mungkin Rangup Jika Dibiarkan Lama Atas Api”

SINGAPURA: Rendang saya mungkin menjadi “rangup ” jika dibiarkan lama atas api dapur dan tidak dipantau, itu mesej lucu pencegahan kebakaran yang cuba disampaikan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kepada penduduk republik itu.

SCDF mengambil peluang daripada perbalahan hangat terkini mengenai rendang “rangup” bagi menyampaikan mesej penting kepada rakyat Singapura.

Dalam catatan terbaharu Facebooknya, SCDF berkata tahun lepas ia memadamkan 402 kes kebakaran berpunca daripada masakan yang tidak dipantau.

“Jangan biarkan masakan anda tidak dipantau,” katanya berserta gambar dapur yang berasap dengan kuali yang terbakar.

Gambar anak panah pula menunjukkan ke arah masakan yang tidak dipantau itu yang disertakan kapsyen ‘le “crispy” rendang’. Ia mengakhiri catatan dengan hashtag #CrispyRendang.

Catatan “rangup’ itu diterima baik oleh para pengikut yang berkongsi dan mengalu-alukan usaha SCDF dalam mengingati penduduk.

Isu rendang “rangup” menjadi sohor di seluruh dunia apabila peserta MasterChef UK Zaleha Kadir Olpin ditempelak oleh pengadil program itu dengan mengatakan bahawa rendang ayam yang beliau masak sepatutnya rangup.

Ini mencetuskan api kritikan dari dunia sebelah sini, yang menyatukan penduduk Malaysia, Indonesia, Singapura serta Brunei untuk mengutuk kedangkalan serta kejahilan para pengadil tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.