Anggota Polis Maut Kereta Peronda Dirempuh

KAJANG: Seorang anggota polis maut selepas kereta peronda dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 297.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Koperal Dommy Tugok, 30-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap sebuah bas di laluan kecemasan.

Kejadian berlaku apabila sebuah SUV dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun terbabit hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dinaiki mangsa dari arah belakang.

“Kereta peronda terbabit berada di belakang bas berkenaan ketika kejadian. Anggota polis berkenaan yang berada bersebelahan kereta peronda terbabit kemudian tercampak ke pembahagi jalan akibat pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa yang bertugas di JSPT Bukit Aman itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Pemandu SUV terbabit yang tidak mengalami kecederaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.