Awal Ashaari Tunggu Masa Sesuai

KUALA LUMPUR: Biarpun masih menerima tawaran, Awal Ashaari terpaksa melupakan kerjaya lakonan yang memperkenalkan namanya dalam industri hiburan kerana terikat komitmen sebagai pengacara dan duta produk.

Anak kelahiran ibu kota berusia 36 tahun itu berkata, dia memerlukan masa untuk kembali menyesuaikan diri di lokasi, terutama membabitkan penggambaran drama yang panjang disebabkan sudah terlalu lama meninggalkan cabang seni itu.

“Sudah lebih tiga tahun saya tidak berlakon hingga saya lupa bagaimana rasanya suasana menunggu di lokasi penggambaran. Bukan tidak ada tawaran, tetapi saya lebih selesa mempertimbangkan projek telefilem atau drama pendek.

“Komitmen sebagai pengacara dan duta produk menjadi antara faktor yang membuatkan saya sukar menerima tawaran drama episod yang panjang,” katanya.

Bekas pengacara Melodi itu berkata, seiring kematangan usia, fokusnya kini beralih kepada program serius yang memerlukannya berada di lapangan.

Suami kepada Scha Alyahya itu bersyukur kerana kredibilitinya sebagai pengacara serius semakin diakui, sekali gus membuka ruang untuk dia meneroka pelbagai peluang baharu dalam bidang itu.

“Bukan tidak lagi minat berlakon, cuma masa saya terbatas. Saya akan kembali berlakon apabila diri sudah benar-benar bersedia. Terbaru, saya menjayakan drama 13 episod berkonsep masakan, Dapur Kongsi.

“Selepas berlakon drama itu, saya akui agak berat untuk menerima tawaran baharu kerana kerjaya lakonan menuntut komitmen yang sangat tinggi. Apatah lagi, untuk menerima tawaran drama beratus episod.

“Saya kagum dengan mereka yang mampu melakukannya,” katanya yang sibuk dengan program raya, Rojak untuk ntv7 selain menumpukan perhatian kepada pengurusan butiknya, Schawal Store. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.