Parlimen Bubar Esok – Najib

PUTRAJAYA – Parlimen dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan, yang besar kemungkinan pada akhir bulan ini atau awal Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra hari ini, berbeza dengan kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari yang sama.

“Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018,” katanya dalam ucapan khas pembubaran Parlimen ke-13.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook rasmi Najib dari Pejabat Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Para pemerhati politik meramalkan pilihan raya itu akan diadakan akhir bulan atau awal bulan depan, sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa pada pertengahan Mei.

Dengan pembubaran Parlimen ke-13, perdana menteri menasihati semua ketua kerajaan negeri untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Najib berkata pembubaran ini menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU14 dijalankan menurut lunas undang-undang.

Menegaskan bahawa kuasa untuk memilih kerajaan berada sepenuhnya di tangan rakyat, beliau berkata semua pihak khususnya parti-parti bertanding wajib memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya yang berasaskan jumlah kerusi dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular.

Bersama-sama Ahmad Zahid dan barisan kepimpinan BN, Najib yang merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata mereka akan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi memberi penerangan dan meyakinkan rakyat Malaysia tentang manifesto dan hala tuju negara yang direncanakan.

“… (manifesto dan hala tuju negara), yang kami carta serta rencanakan dengan teliti, agar para pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh,”

“Dengan izin Tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada Barisan Nasional, kami sesungguhnya berjanji dan berikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebelumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.