Graduan Muda Sambut Baik Manifesto BN Wujudkan Tiga Juta Peluang Pekerjaan

ALOR SETAR – Golongan belia terutamanya graduan muda yang baru menamatkan pengajian menyambut baik janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Seorang graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Nur Sakinah Ramli, 25, dari Padang Sanai, Kuala Nerang berkata melalui peluang itu ia mampu mengurangkan jumlah graduan yang tidak berjaya untuk menempatkan diri dalam sektor kerajaan mahupun swasta yang meningkat setiap tahun.

“Graduan di negara ini bukannya tidak berkualiti, jadi melalui peluang ini, ia dapat memberi ruang kepada graduan muda untuk mencurahkan idea-idea bernas yang mana dapat membantu pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan.

Ia juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan muda yang sebelum ini sukar untuk mendapat pekerjaan berikutan pengambilan pekerja asing yang ramai sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Seorang lagi graduan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Norsyamilah Abdullah, 27, dari Felda Sungai Tiang, Pendang berkata melalui Manifesto BN dalam aspek pekerjaan ini diharapkan lebih banyak program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) diwujudkan bagi membantu golongan muda. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.