Manakan tidak, boleh dikatakan kesemua tohmahan popular pakatan itu membabitkan isu-isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan sebagainya telah dijawab secara ‘sekali harung’ oleh Barisan Nasional (BN) melalui manifesto yang telah diumumkan semalam.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, majoriti tawaran yang diberikan oleh BN juga adalah bersifat ‘mesra belia’ serta mempunyai perincian yang jelas dan mudah untuk difahami.

Katanya, tidak seperti manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP yang bersifat samar-samar dan tidak berpijak di bumi nyata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, selayaknya digelar sebagai bukan sekadar manis di mulut tetapi sudah pun mencakupi segala keperluan rakyat khususnya orang muda.

“Walaupun masih belum mendengar manifesto khusus untuk orang muda yang dijangka bakal diumumkan pada 10 April ini, BN telah pun memenangi hati rakyat terutama para pengundi muda.

“Selain telah menjawab kepada kepada isu-isu yang sering dibesar-besarkan oleh Pakatan Harapan seperti peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan sebagainya, saya yakin kepemimpinan BN merangka manifesto berkenaan dengan mengambil kira kemampuan negara. Apa yang kita ada, kita mampu dan apa yang kita akan dapat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bertemakan Bersama BN, Hebatkan Negaraku, manifesto setebal 220 muka itu menggariskan sebanyak 14 teras dan 364 inisiatif yang memberi banyak manfaat kepada rakyat di seluruh negara.

Najib ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini semalam berkata, dokumen itu diberi perhatian serius kerana ia mengan­dungi segala aku janji BN kepada rakyat. – UTUSAN ONLINE