Peluang Ada Kenapa Tolak – Fara Fauzana

KUALA LUMPUR: Seperti disuarakan ketika mengucapkan selamat tinggal kepada dunia radio dan pengacaraan dua tahun lalu, impian berbakti kepada insan memerlukan akhirnya dikotakan Fara Fauzana.

Aktif menyertai misi kemanusiaan, Fara atau nama penuhnya, Fara Fauzana Mohd Fadzil terus sibuk mengatur persiapan untuk ‘terbang’ ke Malawi, Afrika dan Syria atas niat sama, tidak lama lagi.

“Saya berhenti kerja atas dua niat iaitu untuk memberi masa kepada diri sendiri dan berkhidmat kepada masyarakat. Kalau dulu, bekerja dengan radio, saya sukar untuk membahagikan masa… Sekarang, Allah perkenankan.

“Mula-mula saya gementar untuk menyertai misi kemanusiaan, tapi apabila difikir balik, Allah sudah bagi kita peluang, mengapa ditolak. Saya berhenti kerja pun sebab mahu melakukan perkara ini.

“Alhamdulillah, tahun ini saya akan menyertai dua misi iaitu berangkat ke Malawi menjayakan kempen Projek Squad Celebrity Global Volunteers pada 28 April depan. Tiba Ramadan kelak, saya akan ‘terbang’ lagi Syria buat kali kedua,” katanya kepada BH Online.

Disember lalu, Fara menyertai misi bantuan musim sejuk di Syria.

Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Afrika, Fara mengaku tidak dapat membayangkan suasana di Malawi terutama keadaan cuacanya.

“Jika di Syria penduduk berdepan isu peperangan, masyarakat di Malawi pula mengalami masalah berpunca daripada pemanasan global.

“Saya perlu bersedia secara mental untuk berdepan cuaca ekstrem dan membantu penduduk yang menghadapi kekurangan hidup.

“Selain itu, saya perlu bersedia dengan masalah bahasa. Di Syria, penduduknya berbahasa Arab di mana kita boleh faham. Tetapi di Afrika, kita tidak tahu apa bahasa digunakan,” katanya.

Namun, Fara tidak risau kerana ditemani beberapa kenalan termasuk Faizal Ismail dalam misi berkenaan.

“Jadi, kalau berlaku apa-apa, kami boleh saling membantu,” katanya.

Projek di Malawi hasil kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Pertubuhan Ukhwah 4 Ummah (U4U) itu turut disertai rakan selebriti, Zoey Rahman.

Sementara itu, IRM dan U4U turut menghantar selebriti bagi menjayakan tiga lagi misi di Bosnia, India dan Filipina. Antara selebriti terbabit adalah Irma Hasmie, Lufya Omar, Ashraf Muslim, Diana Amir dan Lah Ahmad.

Inisiatif itu diambil bagi meraih dana kemanusiaan sebanyak RM4.2 juta yang meliputi sektor bantuan bekalan air bersih, pendidikan dan bantuan mangsa peperangan.

Maklumat lanjut dan sumbangan boleh dibuat dengan melayari laman www.ukhwahforummah.org atau www. islamic-relief.org.my. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.