Vida Diarah Selesaikan Cukai Pendapatan RM4.6 Juta

IPOH: Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei depan.

Arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis hari ini selepas tuntutan itu difailkan peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd Anas di dalam kamar hakim.

Pengasas produk kecantikan berusia 47 tahun itu bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Zailan Mohamed.

DATUK Seri Vida. – Foto Mahzir Mat Isa

Dalam penyataan tuntutan LHDN, Datuk Seri Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.

Nor Hidayah ketika ditemui, berkata LHDN sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Vida, namun gagal mematuhi perbincangan berkenaan menyebabkan tuntutan dibuat di mahkamah.

Katanya, kes tuntutan itu akan berjalan pada 21 Mei depan jika pihak Datuk Seri Vida gagal mengadakan perbincangan dan menyelesaikan tuntutan cukai pendapatan individu itu dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Zailan berkata, perbincangan akan diadakan dengan LHDN bagi mengadakan pengstrukturan semula bayaran tuntutan berkenaan dan akan menyelesaikan tuntutan itu dalam tempoh ditetapkan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.