CEO FB Minta Maaf Kebocoran Data Pengguna

WASHINGTON: Ketua Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg, meminta maaf dalam kenyataan bertulis kepada Kongres yang disiarkan semalam dan mengaku rangkaian media sosial itu tidak bertindak mencukupi mengelakkan salah guna data.

“Sudah jelas sekarang kami tidak melakukan secukupnya untuk mengelakkan ia digunakan untuk tujuan tidak baik.

“Ia digunakan untuk menyebarkan berita palsu, campur tangan asing pada pilihan raya dan ucapan kebencian,” katanya dalam keterangan yang disiarkan Jawatankuasa Perdagangan dan Tenaga Dewan Amerika Syarikat.

Zuckerberg dijadualkan hadir memberi keterangan kepada dua jawatankuasa Kongres hari ini dan esok, untuk menjawab soalan mengenai kebocoran maklumat peribadi 87 juta pengguna, kebanyakan di AS, yang dikongsi secara tidak wajar dengan firma perunding politik, Cambridge Analytica.

“Kami tidak bertanggungjawab sepenuhnya dan ia adalah satu kesilapan besar.

“Ia kesilapan saya dan saya meminta maaf. Saya memulakan Facebook, mengendalikannya dan saya bertanggungjawab di atas apa berlaku,” katanya.

Facebook, kelmarin berkata syarikat berkenaan bercadang memberitahu pengguna terjejas semalam.

Amalan data syarikat itu kini disiasat Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.