Impian 13 Tahun Hael Husaini Terlaksana

PETALING JAYA: Tiga belas tahun lalu, penyanyi, Hael Husaini, menyimpan impian untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah selepas bersua muka dengan idolanya buat kali pertama pada sebuah acara.

Kini, hasrat bintang berusia 30 tahun itu terlaksana apabila mereka merakamkan lagu berjudul Haram, ciptaannya bersama Ezra Kong.

“Dayang ialah idola pertama saya dalam bidang seni. Waktu itu, saya bukanlah sesiapa di arena muzik.

“Ketika sama-sama mengadakan persembahan di sebuah kompleks beli-belah, tahun lalu, selepas pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 32, kami ada bergurau untuk berduet. Dayang cakap, saya kena menang AJL (Anugerah Juara Lagu) dulu.

“Tak sangka, lagu saya diumumkan sebagai pemenang dan keesokannya, saya terus menghubungi pengurus Dayang untuk melaksanakan projek duet ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan berserta video muziknya, di sini hari ini.

Kata Hael, beliau sudah dapat rasakan keserasian dengan Dayang ketika mereka bekerjasama menerusi lagu, Dia, karya ciptaannya yang dimuatkan dalam album terbaru penyanyi wanita itu.

Dedah penyanyi yang terkenal dengan lagu Jampi itu, Haram memang dihasilkan khas untuk mereka nyanyikan bersama.

“Ia sebuah naskhah yang mempunyai kekuatan dari segi muzik dan nyanyian balada Dayang. Lagu ini juga dibuat untuk peminat, jadi tiada salahnya jika ia dipersembahkan oleh seorang daripada kami secara sendirian,” katanya.

Hael turut teruja dengan sambutan hebat diberikan kepada lagu berkenaan, sebaik saja ia menemui peminat menerusi platform digital.

“Saya sebenarnya agak terkejut dengan sokongan peminat ke atas lagu ini. Apabila bangun pagi tadi dan melihat ia menduduki carta nombor satu di iTunes, tentunya saya lebih bersemangat untuk mempromosikan single ini.

“Bagi saya, 2018 menjadi detik untuk ‘membalas dendam’ sebab banyak lagu saya tidak keluar pada tahun lalu. Jadi, tahun ini saya mahu keluarkan dan tampilkan muzik saya dengan pelbagai konsep,” katanya.

Sementara itu, Hael mengaku agak tenggelam ketika menyanyi secara langsung buat julung kali dengan Dayang pada sebuah acara anugerah, baru-baru ini.

Berjanji akan terus memperbaiki kelemahan diri, katanya, perkara itu terjadi kerana beliau gugup, selain masalah teknikal yang menyebabkannya terlambat masuk. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.